Buku Pelawat..Sila Daftar Di sini

Friday, September 11, 2009

Tuntutan Dalam Bulan Ramadhan

. Friday, September 11, 2009
0 comments

EMPAT TUNTUTAN

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan
dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.


Selamat beribadat dan wassalam.

Read More »»

Sunday, August 30, 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

. Sunday, August 30, 2009
0 comments

Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk kita berpuasa pada tahun ini. Pada hari ini 30 Ogos 2009 bersamaan 09 Ramadhan 1430H, dalam sedar atau tidak sedar umat Islam di Malaysia telah Sembilan hari berpuasa.

Namun dalam keghairahan berpuasa kadang-kadang kita lupa dan alpha terhadap beberapa perkara yang mungkin boleh membatalkan puasa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai peringatan buat kaum muslimin sekalian di bawah ini dinyatakan beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai peringatan dan renungan untuk kita semua agar puasa kita diterima oleh Allah s.w.t.

1. Jimak .
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ? Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.

2. Makan Minum
Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.
Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Perhatian :
i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.
Sabda Nabi SAW :
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.
ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .
Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.
(Riwayat Al-Bukhari)

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak.

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.

3. Muntah dengan sengaja
Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :
مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ
Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja
Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

Read More »»

Thursday, August 27, 2009

Ibadat Puasa Ramadhan Menjana Keperibadian Mukmin

. Thursday, August 27, 2009
0 comments

Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh oleh setiap orang yang beriman. Bulan yang disebut oleh Rasulullah sebagai ‘bulan umatku’, satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia. Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadan itu, mengandungi seribu rahmat, malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sebagai mana pintu syurga dibuka pada Ramadan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih-sayang, kemaafan, hidayah dan petunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat. Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan dalam sabdanya: “Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah.”

Ramadan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia. Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru, kita dianjurkan agar meningkatkan keimanan. Keempat-empat komponen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.

Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri? Rasulullah bersabda: “Sesiapa saja yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitu juga pada malam Ramadan, peluang terbuka luas untuk menghidupkan malamnya dengan mendirikan solat Tarawih, Saidina Abu Hurairah ada menjelaskan bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).


Ramadan walaupun bulan kerehatan, ia bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak membereskan sebarang pekerjaan. Sepatutnya pada Ramadan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat. Ini kerana setiap tanggungjawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.
Selain itu kefarduan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah peribadi terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Taala. Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: ``Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.''
Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut.Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah Taala dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu membezakan sesuatu yang hak dan batil.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: ``Umatku diberikan oleh Allah setiap Ramadan perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya, iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa.''
Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.
Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.
Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini, mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.'' (Riwayat Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah s.a.w. ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. di antaranya ialah:
- Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
- Banyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
- Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadan.
- Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadan
- Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
- Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh semua umat Muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:
``Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah telah menjadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.''
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah Taala.
Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru ``Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu...''

Disediakan Oleh:Ustaz Haji Mohd. Nawi Bin Haji Ismail

Read More »»

Monday, August 24, 2009

Adab Berpuasa Dan Solat Terawih

. Monday, August 24, 2009
0 comments

Adab berpuasa dan solat terawih

Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Read More »»

Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan al-Mubarak Dan Selamat Berpuasa

. Friday, August 21, 2009
0 comments

“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah al-Baqarah : 183)"

Berpuasa pada bulan ramadhhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam.Syariat ini diturunkan kepada umat Muhammad s.a.w. pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Manakala puasa dari segi istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan pusa bermula daripada terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang di sertakan dengan niat . Puasa juga merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadhan.

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

  1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasanya orang istimewa, seperti khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.
Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk beramal sebanyak-banyaknya dan beribadah di bulan mulia dan barakah. Bersyukur, kehadrat allah. Peluang ini tidak dilepaskan untuk memohon keampunan, mensyukuri dan menikmati ibadah sebenar sebagai seorang yang beragama islam.

Akhir sekali dikesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan blog dan pembaca setia dan tidak setia blog ini jika ada kesalahan yang berbentuk verbal atau penulisan.Semoga puasa kita mendapat keberkatan dari Allah s.w.t...Sekian.

Read More »»

Sunday, June 28, 2009

Arahan hormat lagu Negaraku

. Sunday, June 28, 2009
0 comments

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menempatkan pegawai-pegawainya pada majlis rasmi kerajaan bagi memastikan hadirin termasuk petugas media menghormati lagu Negaraku ketika dimainkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu membolehkan mereka bertindak menghalang petugas media seperti jurugambar daripada berjalan-jalan sambil memetik kamera mereka.

Menurutnya, jika masih terdapat pihak yang ingkar selepas ini, para pegawai kementerian terlibat akan memastikan mereka meninggalkan majlis itu.
Jelas beliau, walaupun masyarakat dan petugas media telah diingatkan sebelum ini mengenai perkara tersebut, namun pihaknya mendapati masih ada segelintir daripada mereka tidak mematuhi serta menghormati lagu kebangsaan itu.

"Di negara jiran seperti Indonesia dan Singapura, mereka tidak buat begitu, mereka menghormati lagu kebangsaan mereka," katanyaselepas menghadiri pelancaran logo serta lagu 1Malaysia dan program senam seni Malaysia di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Sumber : Utusan Online

Read More »»

Wednesday, June 10, 2009

Mengatasi rintangan dengan tegas, berdisiplin

. Wednesday, June 10, 2009
0 comments

Bersikap positif bukanlah sesenang percakapan.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita sentiasa menghadapi banyak rintangan tanpa diduga. Kehilangan orang yang dikasihi, menghadapi masalah kewangan ketika kita benar-benar memerlukannya, pertukaran guru yang disayangi, dan pelbagai masalah lain boleh menyebabkan pelajar secara tidak disedari menjadi seorang yang bersifat negatif.
Membina sikap positif boleh dilakukan jika kita membebaskan minda kita daripada perkara-perkara yang rumit.

Melihat sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah, menggembirakan dan menyenangkan.
Dalam proses tersebut kita mungkin perlu melakukan pelbagai tindakan yang tegas dan berdisiplin. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Tugas utama sebagai pelajar ialah menentukan keputusan yang cemerlang dalam akademik di samping pembangunan diri. Jangan campuradukkan dengan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada emosi yang tidak stabil.

2. Rakan yang bersikap negatif. Terdapat dua kemungkinan, sama ada anda dapat mempengaruhi atau anda dipengaruhi oleh mereka. Ada masanya kita perlu menghapuskan perhubungan seumpama ini bagi menjaga sikap positif yang ada pada diri kita.

3. Memastikan keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani. Jangan jadi ulat buku tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Penumpuan pada satu perkara boleh menimbulkan ketegangan mental dan fizikal. Yang lebih penting ialah sikap bersederhana dalam setiap tindakan.

Mengekalkan sikap positif merupakan aspek yang paling penting. Kita mungkin menjadi kecewa apabila rakan-rakan kita bersikap tidak menyokong dalam pergaulan sehari-hari.
Mungkin anda pernah dicop dengan pelbagai label, seperti, sebagai pelajar yang antisosial, `mat belia' atau `tidak rugged' atau mungkin dituduh sebagai pelajar yang kuat mengampu guru atau pensyarah.

Anda tidak perlu melawan atau membalas kalau dilabelkan dengan label yang bersifat negatif. Mungkin cara yang terbaik ialah dengan mencampakkan sikap positif anda kepada mereka.
Sikap yang bersahaja, melihat kata-kata negatif sebagai gurauan dan terus mendampingi mereka sehingga pada satu tahap tertentu memungkinkan mereka untuk berubah.
Banyak kejadian manusia boleh berubah apabila mereka mengenali kita secara lebih dekat.

Kata orang - tak kenal maka tak cinta.

Orang yang bersikap positif biasanya mempunyai lebih ramai kenalan, berbudi bahasa dan dapat melihat kejadian dalam bentuk yang luas dan berbeza. Rakan-rakan kita tentu sekali akan berasa iri hati dengan ketenangan, kesabaran dan kepintaran kita apabila berhadapan dengan sebarang masalah.

Sumber : Portal pendidikan utusan

Read More »»

SPM : lulus B.I wajib ?

.
0 comments

Oleh
ROHANI IBRAHIM
KUALA LUMPUR 8 Jun 2009“ Orang ramai dipelawa mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu lagi perkara yang memerlukan pandangan orang ramai ialah pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah pada masa ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.
Kementerian Pelajaran bukan hendak buat apa-apa keputusan atau cadangan berhubung kedua-dua perkara itu."Saya sekadar melontarkan perkara itu kepada masyarakat untuk mendapatkan pandangan. Saya anjurkan supaya ada maklum balas masyarakat dalam bentuk debat," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini hari ini.Hadir sama presiden penaja persatuan alumni itu, Tan Sri Yahaya Ibrahim.
Muhyiddin menambah, memandangkan beliau hanya ingin mengumpul pandangan berhubung kedua-dua perkara itu maka tiada sebarang tempoh yang ditetapkan untuk orang ramai mengemukakan pendapat."Mempelajari bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard bahasa Inggeris merosot."Saya juga memerlukan pandangan masyarakat mengenai pembelajaran bahasa Inggeris pada hari ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi untuk perbualan, jelasnya.
Muhyiddin menambah, beliau melihat dua perkara itu dari sudut bagaimana kerajaan hendak tingkatkan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris."Adakah ketiadaan syarat yang mewajibkan lulus bahasa Inggeris untuk lulus SPM menjadikan pelajar kurang minat menguasai bahasa Inggeris?" soal beliau.Timbalan Perdana Menteri menambah, masyarakat perlu memberi pandangan sama ada pelajar luar bandar akan menjadi mangsa jika bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib lulus untuk lulus dalam SPM.
"Pada masa ini, lebih kurang 70 peratus pelajar boleh dikatakan lulus bahasa Inggeris tapi kalau lulus dan tidak menggunakan bahasa itu ia tidak membawa apa-apa."Bolehkah pelajar memberi perhatian lebih serius dalam subjek Bahasa Inggeris jika ia salah satu subjek wajib lulus untuk mereka lulus SPM. Saya mahu masyarakat memikirkan perkara ini, katanya.
Sumber : Utasan online

Read More »»

Saturday, June 6, 2009

Samseng sekolah

. Saturday, June 6, 2009
0 comments

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar.

Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Terbaru, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah.

Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.

Ada pula pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.

Walaupun masih berhingus, jangan terkejut jika pelajar sekolah mempunyai kumpulan atau geng tertentu untuk melakukan huru-hara.

Mengapa fenomena sedemikian boleh berlaku. Tidak cukupkan pendidikan agama dan moral yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah?

Apa yang mereka mahu sehingga sanggup terbabit dengan kes yang membawa kepada kematian. Adakah mereka ini jahat, ingin menunjukkan mereka punya kuasa atau mahu menarik perhatian masyarakat?

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, berkata pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini bukan jahat tetapi ingin menunjukkan mereka kuat dan punya kuasa.

Beliau berkata, seseorang pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini akan berasa selamat dan bangga kerana mereka digeruni pelajar lain.

"Sebagai pelajar, mereka punya naluri untuk menjadi seorang yang digeruni dan dikenali di sekolah.

"Selain menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu akan menjadi terkenal di sekolah kerana masalah disiplin yang dilakukan. Inilah yang mereka mahukan.

"Pergaduhan juga boleh membuktikan mereka adalah kumpulan yang kuat dan berasa setiap tindakan dilakukan adalah benar.

"Ia juga satu cara untuk memberi pengajaran kepada sesiapa yang menimbulkan masalah kepada kumpulan samseng sekolah ini dan simbol kekuatan kumpulannya," katanya.

Namun, ada sesetengah pelajar yang menyertai kumpulan samseng sekolah hanya untuk menjaga keselamatan diri sendiri.

Ini kerana, semangat setia kawan kumpulan samseng pelajar ini kuat dan apabila seorang ahlinya diganggu pelajar lain, mereka akan sedaya upaya mempertahankannya dan itulah punca yang mencetuskan pergaduhan.

Dr Suradi berkata, masalah samseng sekolah ini bukan saja disebabkan ingin menunjukkan kekuatan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor lain terutama faktor keluarga dan persekitaran.

"Setiap masyarakat terutama di negara kita punya cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ada yang menyelesaikan masalah dengan cara baik dan apa pula yang menggunakan kekerasan.

"Kemungkinan pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini datangnya daripada keluarga dan tempat tinggal yang menjadikan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah.

"Apa yang mereka lihat, ia sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan mereka ketika berhadapan dengan masalah," katanya.

Di samping itu juga, pengaruh daripada media massa salah satu faktor yang menjadi penyebab masalah samseng sekolah ini.

Jika diperhatikan, kebanyakan drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sering menunjukkan setiap babak pertelingkahan akan diakhiri dengan pergaduhan.

Walaupun masalah ini bukanlah perkara baru, tindakan sewajarnya perlu diambil agar masalah keganasan samseng sekolah ini dapat diselesaikan.

Oleh itu, Dr Suradi berkata, bagi menyelesaikan masalah ini, kaunseling bukanlah jalan terbaik sebaliknya mereka ini perlu mengikuti program psikologi.

"Biasanya, masalah disiplin pelajar akan dirujuk kepada sesi kaunseling tetapi bergantung kepada keadaan kes.

"Mereka ini bukanlah bermasalah tetapi pembawa masalah. Oleh itu, kaunseling bukanlah jalan yang terbaik dalam mengatasi masalah samseng sekolah ini.

"Melalui psikologi, kita menggunakan program 'Intervensi Psikologi' untuk membawa pelajar ke pangkal jalan," katanya.

Intervensi Psikologi akan mendedahkan pelajar dengan program yang dapat membantu mereka lebih matang dan menjauhkan diri daripada kekerasan dan keganasan.

Sementara itu, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) yang pernah terbabit dengan kumpulan samseng sekolah lapan tahun lalu berkata, seseorang pelajar itu tidak akan bertindak ganas jika tidak dicabar pihak lain.

Menurutnya, sebagai remaja, kekuatan dan kuasa penting dalam kehidupan terutama di sekolah. Justeru jika terbabit dengan kes pergaduhan, ia memberikan satu kepuasan dan kebanggaan.

"Biasanya, sesuatu pergaduhan tercetus kerana dicabar pihak lawan ataupun mereka mengusik dan mengganggu kumpulan samseng sekolah ini.

"Selepas cabar mencabar, sesi pertemuan yang didalangi orang tengah akan dirancang dan di situlah pergaduhan tercetus," katanya.

Menurut Mohd Firdaus yang pernah dipenjara seminggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selepas membelasah pihak lawan, tidak ada apa yang dirasainya kecuali kepuasan.

Namun, selepas pergaduhan itu menjadi kes polis, barulah perasaan menyesal itu timbul.

Oleh itu, Mohd Firdaus berharap pelajar yang baru atau terbabit dengan samseng sekolah ini meninggalkan kumpulan itu demi masa depan.

"Semua orang inginkan kuasa dan nampak kuat. Namun, jangan kerana mengejar kuasa itu, kita hancurkan masa depan dan menghampakan harapan orang tua kita.

"Jangan terlalu ikutkan darah muda yang kononnya hanya boleh dirasai sekali seumur hidup kerana ia akan merosakkan dan meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidup," katanya.


Read More »»

Thursday, June 4, 2009

Masalah Disiplin Pelajar Sekolah

. Thursday, June 4, 2009
0 comments

Sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira samada di sekolah bandar atau luar bandar maupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita.
Para pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka. Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, kawan, keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Ini termasuk keadaan dunia yang tanpa sempadan kini menyaksikan pelbagai pengaruh dari luar menjajah minda para pelajar sekarang.
Walaupun begitu institusi keluarga dan sahabat merupakan sumber yang paling rapat dapat mempengaruhi pelajar.Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih. Guru yang pertama seorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Seorang bayi akan belajar dengan melihat dan mencuba apa yang dilakukan dan disebut oleh orang di sekelilingnya.
Oleh kerana keperluan kehidupan ibubapa terpaksa bekerja maka anak-anak kecil ini sehinggalah ke peringkat remaja biasanya diasuh oleh pembantu rumah. Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna. Ini perlu memandangkan ibubapa yang bekerja mempunyai masa yang terhad bersama dengan anak-anak. Masa yang singkat ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kasih sayang dan kemesraan kekeluargaan itu dapat dieratkan.
Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi. Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa.
Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing. Cuba fikirkanlah apa yang akan terjadi kepada negara kita yang tercinta ini jika mereka yang bijak tetapi tidak mempunyai jati diri serta rosak akhlaknya menjadi pemimpin. Menjatuhkan hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka yang mempunyai masalah disiplin dan moral ini sebenarnya sedang sakit. Samada sakit jiwa, sakit hati, sakit fikiran atau sakit rohaninya. Mereka yang sakit perlu dirawat supaya dapat pulih semula. Mereka yang terjatuh perlu dibantu untuk bangun semula. Mereka yang tersesat perlu dibimbing ke pangkal jalan.

Read More »»

Tuesday, June 2, 2009

Masalah Disiplin Dan Keruntuhan Akhlak Pelajar

. Tuesday, June 2, 2009
0 comments

Untuk mewujudkan bilik darjah dan sekolah yang kondusif itu bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Ada sesetengah sekolah dihadapkan dengan masalah disiplin dan keruntuhan akhlak yang teruk dalam kalangan murid-muridnya.
Menurut Zawawi Ahmad (1996), akhlak ialah suatu menifestasi hidup yang luas yang mencakupi kegiatan menghubungkan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan semua makhluk Allah yang lain di dunia ini. Akhlak manusia adalah sangat peka dan mudah berkesan dengan sebarang tingkah laku sama ada baik ataupun buruk.
Oleh yang demikian Rasulullah sering mengingatkan umatnya tentang mustahaknya akhlak dibentuk dengan baik.Namun akibat pengaruh dari barat, media massa dan sebagainya, kita dapat lihat betapa runtuhnya akhlak dalam kalangan murid Islam pada masa kini. Rakan sebaya juga mempengaruhi akhlak pelajar.
Sebagai contohnya, pelajar yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas dan sebagainya lagi.Pelajar-pelajar seperti inilah yang selalu menimbulkan masalah dan gangguan apabila berada di dalam bilik darjah.

Read More »»

Saturday, May 23, 2009

Program We Concern We Care

. Saturday, May 23, 2009
0 comments

Sipitang, 12 Mei 2009 (Selasa).Unit Disiplin dan Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan kerjasama PIBG, PDRM, Prostar dan AADK telah mengadakan program we concern we care untuk pelajar SMK Padang Berampah. Seramai 72 orang pelajar telah mengikuti program tersebut yang telah diadakan di bilik gerakan sekolah.

Read More »»

Pengumuman

.
0 comments

Bemula 22 Mei 2009 blog Unit Disiplin SMK Padang Berampah telah di aktifkan. Warga SMK Padang Berampah bolehlah memberi komen dan melawat blog ini untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan unit disiplin. Harap maklum.

Read More »»